Sunday, February 28, 2016



BILA KALI TERAKHIR KITA MENITISKAN AIR MATA KERANA RINDUKAN ALLAH SWT


Mengapa Kita Menangis?

Tangisan pasti menyebabkan air mata kita menitis. Ia berlaku dan terjadi mungkin disebabkan kita terlalu sedih, terharu, sebak, sayu, kecewa ataupun terlalu gembira. Tangisan itu sebenarnya menzahirkan sesuatu yang datang daripada hati. Hati akan menzahirkan dengan menunjukkan tindak balas kepada anggota tubuh badan kita.

Air mata sebenarnya terlalu mahal bagi setiap manusia. Air mata bukan dihasilkan dengan perasaan saja-saja tanpa punca. Jikalau seseoran itu sedang menangis, sebenarnya ia menunjukkan bahawa kita sedang mengalami sesuatu yang menyentuh hati dan perasaan kita.

Untuk Apa Kita Menangis?

Pernah atau tidak kita sedih dengan sesuatu perkara?
Pernah atau tidak kita rasa kecewa dengan sesuatu perkara?
Pernah atau tidak kita rasa sebak dengan sesuatu perkara?
Pernah atau tidak kita rasa sayu dengan sesuatu perkara?
Pernah atau tidak kita rasa terlalu gembira dengan sesuatu perkara?
Penah atau tidak kita rasa terhina dengan sesuatu perkara?

Kadang-kala kita menangis kerana kita dipermainkan oleh orang lain, atau kita dihina oleh orang lain, atau kita dikecewakan oleh orang lain, kita rasa diperlekehkan oleh orang lain. Maka ketika itu, hati terlalu hiba dan air mata mula mengalir.

Persoalan yang perlu kita jawab utuk diri kita sendiri. Apakah pernah kita mengalirkan air mata kerana Allah SWT? Sebagai seorang hamba, sepatutnya kita perlu menzahirkan rasa rindu kita kepada Allah SWT. Kerinduan yang melampau akan menyebabkan air mata kita akan menitis. Tetapi, apakah kita sudah cukup melafazkan perasaan rindu kita kepada Allah SWT. Seringkali kita melafazkan rindu kepada sesama insan, tapi kita kurang melafazkan rindu kepada Allah SWT.

Tatkala kita cuba melafazkan rasa rindu itu, maka kita sedang berusaha untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT. Hubungan dengan Allah SWT perlu dijaga, disemai dan dibaja. Hubungan dengan Allah SWT akan terpelihara apabila kita menjaga tatasusila kita sebagai hamba-Nya. Kita wajib menyempurnakan yang wajib dan menggandakan yang sunat. Kita selalu ingatkan Allah SWT dengan berzikir kepada-Nya. Paling penting, kita sucikan hati kita dengan memohon keampunan atas setaip keburukan dan kemaksiatan yang pernah kita buat sepanjang hidup kita.

Percayalah bahawa, menangis kerana Allah SWT amat bermakna daripada kita habiskan kuantiti air mata kita dengan tangisan kerana manusia.

Ketika kita mengakui kesalahan dan keburukan yang kita lakukan, ia akan mendorong rasa sayu, sebak dan hina pada diri. Pada waktu inilah, hati kita akan mendidik diri kita untuk merendahkan diri serendah-rendahnya di sisi Allah SWT. Hinakanlah diri untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. Sebutkan kesalahan-kesalahan besar yang pernah kita lakukan sebelum-sebelum ini. Tindakan ini menjadikan kita sedar akan kelalaian kita kepada Allah SWT



Letakkanlah dahi Sujud Memohon Keampunan


Bersegeralah memohon keampunan kepada Allah SWT atas setiap kesilapan yang pernah kita lakukan. Allah selalu ternanti-nanti kita mengakui segala kesilapan dan kesalahan yang pernah kita lakukan, setiap arahan yang kita ingkari perlu diakui. Usah malu dengan kelemahan lampau kerana tanpa kelemahan tidak akan hadir keindahan keampunan.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 133 yang bermaksud:

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan mu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa"

Bilakah masa sesuai untuk memohon keampunan kepada Allah SWT?
Jawapannya mudah sahaja, pada bila-bila masa, dan di mana-mana sahaja ketika kita terdetik di hati rasa penyesalan, maka ketika itu, segeralah memohon keampunan kepada Allah SWT. Mungkin ketika masa ini kita segan nak mengaku kesalahan-kesalahan. Jadi masa bila nak buat?

Bangunlah di akhir 1/3 malam. Mungkin dalam 4.30 atau 4.45 pagi, kemudian berwuduk dan bentanglah sejadah dihadapan kita. Letakkanlah dahi atas sejadah tu dengan melakukan solat sunat taubat. Istighfar lah dengan penuh rendah diri dan penuh penghinaan. Selepas itu tadahlah tangan berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT akan mendengar dan mengampunkan kesalahan kita.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Isra' ayat 79 yang bermaksud:

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” 

Jikalau air mata mengalir ketika inim usah di lap dengan tangan, biarkan ia menitis laju dengan harapan semakin laju deraian air mata, semakin laju kita memohon keampunan kepada Allah SWT. Air mata itu sebagai satu gambaran betapa bersungguhnya kita mendambakan Allah SWT menerima diri kita dan mengampunkan setiap kesalahan yang kita lakukan.

Allah SWT sememangnya Maha Pengampun. Apakah Dia akan memaafkan kita? Jawapannya sudah pasti Allah SWT akan mengampunkan atas setiap kesalahan yang kita lakukan. Kuncinya ialah kita perlu selalu memohon keampunan kepada Allah SWT kerana Allah SWT pasti gembira melihat kita bersungguh-sungguh memohon keampunan kepada-Nya



No comments:

Post a Comment